Tuesday, August 25, 2009

PERUTUSAN SETIAUSAHA SEMPENA SAMBUTAN BULAN RAMADAN AL-MUBARAK & HARI KEBANGSAAN MALAYSIA KE-52

Rasulullah SAW telah bersabda bahawa Allah SWT berfirman:

"Setiap amalan anak Adam itu baginya, kecuali puasa. Maka ia adalah untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa itu adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka janganlah dia menghampiri isterinya (menyetubuhinya) pada hari itu dan janganlah pula meninggikan suara. Sekiranya dia dihina oleh seseorang atau diajak berkelahi maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa. Demi Tuhan yang diri Muhammad berada dalam kekuasaan-Nya, maka bau mulut orang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang menggembirakannya. Tatkala berbuka puasa dia bergembira dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan sebab puasanya. "
Hadis riwayat al-Bukhari & Muslim
Warga SMASZAL yang dikasihi sekalian terutama Ahli Jawatakuasa PBP SMASZAL,

Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur dan pujian ke hadrat Allah SWT, kerana dengan taufiq dan limpah kurnia-Nya kita masih diberi nikmat untuk hidup di bawah naungan dan ajaran Islam serta dipanjangkan umur sehingga kita boleh sekali lagi menyambut ketibaan Ramadan al-Mubarak bagi tahun ini yang akan tiba beberapa hari lagi. Semoga kedatangan Ramadan al-Mubarak bagi tahun ini akan menjadi satu peluang terbesar kepada kita untuk mengaut seberapa banyak pahala daripada pelbagai ibadat yang akan kita lakukan.
Muslimin dan muslimat sekalian,
Bulan Ramadan merupakan bulan yang bersejarah. Selain al-Quran diturunkan, banyak lagi detik-detik bersejarah dan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Ramadan yang penuh berkat ini. Bulan Ramadan juga adalah bulan kemenangan bagi umat Islam. Menyusuri titipan sejarah, kemenangan gemilang umat Islam di bulan Ramadan bermula dengan kemenangan pertama umat Islam terhadap orang-orang musyrik Mekah dalam peperangan Badar Kubra. Kemenangan ini adalah kerana kekuatan jiwa, rohani dan nilai taqwa dalam diri para pejuang. Inilah kunci umat Islam menjadi umat terbaik, disanjung dari timur ke barat, dan mendapat limpahan rahmat Allah SWT atas apa yang mereka usahakan. Namun, sekarang ini ramai umat Islam percaya bahawa kejayaan hanya dapat diraih melalui kekuatan fizikal dan kekayaan dunia semata-mata. Mereka seolah-olah lupa bahawa Allah SWT yang berkuasa untuk menewaskan orang-orang musyrik dan memberi kemenangan kepada umat Islam sekiranya mereka mempertingkatkan dan memperkukuhkan hubungan mereka dengan Allah SWT. Justeru, bulan Ramadan al-Mubarak adalah batu loncatan bagi memperbaiki hubungan kita dengan Allah SWT, pencipta seluruh alam.
Muslimin dan muslimat yang dikasihi,
Bulan Ramadan adalah bulan rahmat dan pengampunan. Ia adalah rahmat daripada Allah SWT bagi hamba-Nya yang beriman. Di dalam bulan ini, Allah SWT menawarkan pakej pengampunan yang cukup istimewa yang semestinya menguntungkan kita sebagai hamba-Nya. Pada bulan ini sahajalah, dan tiada di bulan-bulan lain, Allah SWT membuka semua pintu syurga dan menutup semua pintu neraka. Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Apabila telah tibanya Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup semua pintu neraka dan diikat semua syaitan."
Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim & al-Nasaei.
Di bulan Ramadan ini, Allah SWT menerima taubat semua hamba-Nya dan mengampunkan segala dosa-dosa mereka yang bertaubat kepada Allah SWT. Maka janganlah kita melihat amalan berpuasa sebagai menyeksa diri sendiri dan bulan Ramadan sebagai bulan seksaan seperti yang dianggap oleh sesetengah orang. Pohonlah keampunan dari Allah SWT dengan penuh ikhlas dan tawadhu’. Bertaubatlah kepada-Nya dengan taubat nasuha. Sesungguhnya Allah SWT menerima segala taubat hamba-Nya selagi mana ia tidak mensyirikkan-Nya.
Warga SMASZAL dan AJK PBP SMASZAL yang dihormati,
Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Sesungguhnya dengan ketibaan bulan Ramadan, janganlah kita terpedaya dengan anggapan bahawa masih banyak lagi hari dalam bulan Ramadan, maka kita bermalas-malasan untuk melaksanakan ibadat. Rebutlah peluang Ramadan yang datang setahun hanya sekali ini dari awal bulan lagi kerana awal bulan Ramadan ini adalah rahmat dari Allah, pertengahannya pula adalah keampunan, dan akhirnya pula adalah kelepasan dari api neraka. Marilah kita bersama-sama memperbanyakkan zikir, bacaan al-Quran serta segala ibadah yang mampu dilakukan. Semoga ibadah kita di bulan Ramadan kali ini akan mendapat keredhaan Allah SWT.
Warga SMASZAL dan AJK PBP SMASZAL yang dihargai,
Selain daripada sambutan bulan Ramadan al-Mubarak, negara kita turut menyambut Hari Kemerdekaan yang ke- 52 pada 31 Ogos ini. Sempena merayakan ulang tahun kemerdekaan, marilah kita terus komited untuk memajukan persatuan kita, selaras dengan aspirasi kerajaan dalam menjadikan negara kita sebagai warga smaszal yang di kenali di rantau ini.
Persatuan Bekas Pelajar SMASZAL telah lebih daripada 13 tahun penubuhannya sentiasa berusaha untuk menghadapi cabaran dan rintangan yang baru sejajar dengan visinya untuk menjadi NGO yang boleh mermartabatkan nilai murni Islam. Kita harus terus bekerja keras untuk memenuhi hasrat persatuan ini dalam menjadi panduan utama dan sumber rujukan bagi program dan perkhidmatan berinovatif sejajar dengan pemodenan zaman.
Tema perayaan Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu ‘1 Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ mencerminkan kesungguhan pihak kerajaan dalam memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan berlainan agama, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia. Konsep ini perlu diterapkan ke dalam sanubari dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat bagi memastikan aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 menjadi suatu realiti.

Perpaduan adalah amat penting bagi mengekalkan kemerdekaan, keharmonian serta bagi mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Bagi mencapai matlamat ini, rakyat perlu memajukan diri dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum serta agama yang membawa kepada perpaduan yang kukuh. Justeru itu, marilah kita bersama-sama menghindarkan diri daripada segala bentuk diskriminasi perkauman dan juga keagamaan demi perpaduan rakyat sejajar dengan semangat 1Malaysia, juga sejajar dengan sifat-sifat serta prinsip-prinsip Rasulullah SAW, yakni sebaik-baik contoh teladan manusia.
Akhir sekali, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana diberikan kesempatan untuk sekali lagi bertemu dengan Ramadan al-Mubarak, bulan mulia dan penuh kelebihan di sisi Allah SWT buat para hamba-Nya, sambil kita merayakan Hari Kemerdekaan kita. Insya-Allah, perjuangan mulia kita akan direstui oleh Allah SWT.

0 comments:

 

blogger templates | Make Money Online